;

MOTIVASI MEMBUNUH



“Motivasi, motivasi! tiada topik lain ke nak bincang?”. Mungkin ini adalah antara reaksi majority kita yang terasa muak dengan isu ini. Tetapi adakah anda tahu motivasi boleh membunuh? Bunyinya pelik tetapi memang benar. Motivasi adalah pendorong manusia melakukan apa juga perbuatan. Jika motivasi ini tidak didasari dengan konsep yang benar, motivasi ini mungkin akan memakan diri sehingga membunuh.

Isu ini mungkin kelihatan enteng tetapi hakikatnya ia merupakan kesan yang sangat besar dalam hidup kita. Saya akan mendedahkan peri pentingnya pembinaan motivasi diri yang benar untuk memacu tingkah laku yang baik dan diredhai Allah swt.

Walaupun setiap individu mempunyai pendekatan motivasi yang berlainan, namun secara dasarnya, motivasi boleh diklasifikasikan kepada 3 jenis iaitu motivasi material atau fizikal (Al-quwwah al- Madiyah), motivasi emosional atau psikologi (Al-quwwah al-Ma’nawiyah) dan motivasi spiritual (Al-quwwah ar-Ruhiyah).


Motivasi Material atau Fizikal

Manusia sangat mudah termotivasi dengan motivasi material. Jenayah saham cepat kaya, meluasnya MLM dan permainan politik wang adalah contoh gejala yang lahir atas motivasi ini. Keinginan material berasal daripada keperluan jasmani dan naluri. Mentaliti individu yang bermotivasikan material hanyalah untuk mencari kesenangan dunia sebanyak yang mungkin. Belajar hingga ke manara gading adalah untuk mendapat kerja bergaji besar, boleh membeli kereta besar, rumah besar, isteri besar (huhu..) dan segala-galanya besar.

Lebih dasyat lagi, batasan halal dan haram tidak mereka hiraukan. Peniaga menipu sukatan, mengambil riba’, mengeksploitasi kaum wanita sebagai pelaris barangan dan rasuah untuk mendapat projek contoh berleluasanya motivasi material yang bertentangan dengan Islam. Bagi pelajar pula, kerana nak lulus exam, ada sanggup meniru dalam peperiksaan, menipu pensyarah, memecah masuk pejabat pengurusan dan menggodam komputer untuk mengubah pointer (CGPA).

Apabila mereka ini yang berusaha bermati-matian tetapi masih gagal, mereka tidak akan dapat menerima hakikat dan mengambil jalan keluar dengan membunuh diri. Negara Jepun merupakan negara yang kedua termaju dari segi teknologi selepas Jerman namun kadar kes bunuh diri mereka semakin parah.

Motivasi material mempunyai kesan yang lemah dan mudah hilang. Bagi pelajar, jika ada aktiviti anjuran persatuan atau mana-mana agensi kerajaan yang diberi elaun, mereka akan bersungguh-sungguh menyertainya sehingga sanggup ponteng kuliah. Jika tiba-tiba elaun ditarik, berduyun-duyun antara mereka akan menarik diri walaupun hakikatnya aktiviti yang dianjurkan adalah aktiviti kebajikan atau dakwah yang dipandang mulia disisi Allah swt.

Adakah kita masih begitu cintakan dunia walhal dunia jika dibandingkan dengan akhirat sangat jauh berbeza?

“Dunia itu, dibandingkan dengan akhirat adalah seperti salah seorang di antara kalian yang memasukkan telunjuknya ke dalam lautan. Perhatikanlah apa yang tertinggal pada telujuk tersebut?”
(HR Muslim,at-Termidzi,Ibn Majah& Ahmad)


Motivasi Emosional atau Psikologi

Motivasi emosional mempunyai pengaruh yang lebih besar daripada motivasi material. Namun, motivasi ini juga bersifat tidak permanent. Motivasi emosional adalah faktor emosi (kejiwaan) yang sentiasa dicari dan diingini oleh seseorang. Kerana motivasi ini, ada yang sanggup korbankan harta benda, tenaga dan apa sahaja.

Cuba layarkan ingatan ke penghujung tahun 90-an, tahun bersejarah kerana terjadi peristiwa besar di Malaysia. Masyarakat Malaysia termotivasi beramai-ramai memenuhi Jalan Parlimen, berhadapan Stadium Negara berdmonstasi meluahkan suara hati mereka berkenaan kes bekas Timbalan Perdana Menteri, Dato Seri Anwar Ibrahim dilucutkan jawatan atas tuduhan liwat. Sehingga ada yang sanggup berhadapan dengan risiko dipenjarakan. Pada hari ini, ke manakah motivasi tersebut? Ianya semakin beransur surut dalam arus perdana bak air laut yang surut di petang hari. Inilah contoh motivasi emosional terdorong kerana perbuatan emosional semata-mata.

Contoh lain, perokok merokok kerana ingin kelihatan macho. Begitu juga seseorang pelajar yang jatuh cinta sanggup melakukan apa sahaja untuk meneruskan perasaan cintanya, cair dengan pujuk rayu sijejaka yang kegersangan sehingga sanggup menyerahkan harta dan dara. Apabila cinta yang cuba dipertahankan gagal hingga ke jinjang pelamin, sijejaka melarikan diri dan perut juga sudah berisi, malu yang dihadapi tidak terperi. Maka, timbullah kes membunuh diri. Nauzubillah..

Pernah terjadi di Malaysia peristiwa seorang wanita membalas dendam dengan membunuh dan mengerat-ngerat kemaluan kekasihnya kerana kekasihnya mempunyai perempuan lain. Bermacam-macam gejala buruk muncul hanya kerana asalnya mereka menjadikan motivasi emosional sebagai penggerak kehidupan. Motivasi ini patut dikesampingkan walaupun kadangkala ada yang berjaya.


Motivasi yang Gilang-Gemilang

Jadi, apakah bentuk motivasi yang paling baik untuk manusia? Tanpa ragu-ragu, lagi, jawapannya adalah motivasi spiritual, iaitu motivasi yang mendorong perbuatan manusia untuk mengejar redha Allah swt dengan mengikuti perintah dan larangan-Nya Motivasi ini lahir daripada kesedaran akan hubungan manusia dengan Allah swt., Zat Yang Maha Tahu segala perbuatan manusia, yang nampak mahupun tidak.

Kesedaran inilah yang mampu memotivasi manusia melakukan apa jua perbuatan, walaupun terpaksa berkorban harta, jiwa dan raga. Orang yang mempunyai motivasi ini, tidak pernah merasa putus asa kerana gagal walaupun telah mengorbankan semua yang dimilikinya. Maka, motivasi ini jauh lebih kuat kesannya pada perbuatan manusia dibandingkan dengan motivasi-motivasi sebelum material dan emosional.

Contohnya, apabila Rasulullah saw. dan para sahabat pergi berjihad dalam perang Badar, iaitu jumlah tentera Islam 300 orang menentang orang-orang kafir Quraisy yang lebih daripada 1000 orang. Rasulullah saw. ragu-ragu dengan keadaan kaum muslimin khawatir tentera Islam hilang semangat dengan bilangan mereka yang lebih kecil. Jadi baginda saw., mengumpulkan tentera Islam bermesyuarat hingga tiga kali membincangkan masalah yang sama. Akhirnya orang-orang Ansar menyedari, bahawa yang diinginkan oleh Rasulullah saw. adalah untuk melihat keazaman motivasi mereka.

Sa'ad bin Mu'az berkata kepada baginda saw.,
"Sepertinya Engkau ragu pada kami, wahai Rasulullah. Dan sepertinya Engkau khawatir, bahawa orang-orang Anshar, sebagaimana yang nampak pada pandanganmu, tidak akan menolongmu, kecuali di negerinya. Saya bicara atas nama orang-orang Anshar, dan memberi jawapan berdasarkan sikap mereka, Berangkatlah bersama kami, sesuai dengan apa yang Engkau kehendaki. Ikatlah tali sesiapapun yang Engkau kehendaki. Dan putuslah ikatan sesiapa sahaja yang Engkau kehendaki. Dan ambillah dari harta kekayaan kami yang Engkau kehendaki. Dan berikanlah mana sahaja yang Engkau kehendaki. Apa sahaja yang Engkau ambil, niscaya lebih kami sukai daripada yang Engkau tinggalkan. Demi Allah, kalau seandainya Engkau menempuh perjalanan bersama kami hingga ke Barak Al-Ghamad (kota Habasyah), kami semuanya akan tetap bersamamu. Dan demi Allah, kalau seandainya Engkau mengajak kami untuk menyeberangi lautan sekalipun, pasti kami akan lalui bersamamu."

Setelah itu, wajah Rasulullah saw. berubah seketika menjadi berseri-seri. Rasulullah saw. telah mengetahui motivasi mereka berperang bukan kerana motivasi material, iaitu kerana memperhatikan bilangan mereka, mahupun kerana motivasi emosional. Tetapi, motivasi mereka adalah motivasi spiritual yang murni.

Kesimpulannya, motivasi yang paling sahih dan kuat untuk membina perbuatan manusia sehingga berjaya dalam mewujudkan perbuatan adalah motivasi spiritual. Sebab, dengan motivasi tersebut, seseorang akan terus-menerus berusaha tanpa mengenal lelah dan putus asa sampai akhirnya berjaya dengan izin Allah SWT. Sebagai mahasiswa, kita belajar untuk memenuhi tuntutan fardu ain dan fardu kifayah dan untuk meneruskan kehidupan sebagai seorang muslim yang bertaqwa. Ilmu yang dipelajari disampaikan terutamanya ilmu yang membangkitkan umat Islam agar bersatu mencari kemuliaan yang hilang. Kerana mahasiswalah harapan untuk memperjuangkan kebenaran dan menumbangkan benteng-benteng kekufuran serta memartabatkan Islam sebagai rahmatan lil alamin..


|

2 komen:

caturist said...

Motivasi itu ibarat makanan. Kena jaga pemakanan dan pilih yang terbaik dan sudah tentu yang halal.

Tak gitu?

Muhamad Faizal said...

Ehm.. betul tu caturist.

Perkataan MOTIVASI ni dah selalu kita dengar tapi kadang2 kita tahu pun apa sebenarnya yg dimaksudkan dgn motivasi dan taktau pun motivasi pun boleh jadi negatif.

Moga apa yg saya sampaikan beri sedikit sebyk kefahaman ttg motivasi..

Post a Comment